Pelakon Adam Corrie mendedahkan dia kurang mendapat tawaran atau peluang untuk mendapat watak yang diinginkan.

Menurut Adam, sebelum ini dia hanya menerima tawaran watak yang ditawarkan sahaja.

"Aktiviti lakonan saya masih bergerak seperti biasa.

"Cuma sekarang ini saya kurang mendapat tawaran atau peluang untuk berlakon dalam watak yang saya inginkan.

"Biasanya saya akan menerima tawaran watak yang ditawarkan sahaja memandangkan saya tidak mempunyai pilihan," katanya kepada Gempak.

Adam ditemui di sidang media program menjelang Sambutan Tahun Baru Solidariti untuk Kemanusiaan - Kembara Rohani di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Adam yang popular menerusi filem KL Gangster ini, dia ingin menjadi seorang pelakon yang serba boleh.

"Saya teringin untuk membawa watak baik memandangkan saya dikenali dengan watak antagonis.

"Apabila sering membawa watak jahat, pihak produksi terutamanya mempunyai persepsi dengan mengatakan setiap lakonan saya sama walaupun berbeza filem," katanya lagi.