Pencapaian filem Malaysia meraih pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa membuktikan produk tempatan mempunyai sambutan di luar negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo berkata, kajian data yang dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada tahun ini menunjukkan sebanyak hampir 90 filem pelbagai format dan genre berjaya menembusi pasaran global menerusi tayangan, penyertaan, pencalonan dan 37 daripadanya berjaya meraih kemenangan di festival filem antarabangsa.

"Filem adalah suatu medium pelaburan jangka panjang, saya percaya kekuatan karya-karya Malaysia ini berjaya menembusi pasaran luar kerana kekuatan penonjolan identiti tempatan yang diadun dengan nilai-nilai universal dan kualiti pembikinan mampu mengembara ke seluruh pelusuk dunia," katanya pada Majlis Pelancaran portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX) di FINAS, Hulu Kelang, Selangor hari ini.



Jelasnya, eksport pemasaran kandungan tempatan ke luar negara pada tahun ini mencapai nilai pelaburan sebanyak RM101.48 juta berbanding RM82.54 juta pada tahun lalu.

"Kejayaan filem Crazy Rich Asians yang mendapat insentif Film In Malaysian Incentives (FIMI) di peringkat global dengan kutipan sebanyak AS$238 juta (RM995.21 juta) selain tercalon Golden Globes Awards membuktikan usaha berterusan untuk 'positioning' Malaysia juga memerlukan pemasaran efektif dengan kos-kos yang besar," katanya.



Ujarnya, filem tempatan yang mendapat insentif FIMI seperti Ola Bola, Polis Evo 2 dan MRs K juga membuktikan impak 'cinematic tourism' dalam mempromosikan negara ke pasaran luar.

"Di dalam sektor pemameran, filem tempatan secara keseluruhan pada tahun ini mencatat rekod kutipan sebanyak RM165.34 juta bagi 51 filem berbanding pada tahun 2017 iaitu sebanyak RM59.92 juta untuk 59 filem.

"Filem-filem ikonik pecah panggung seperti Munafik 2, Hantu Kak Limah, Paskal dan Polis Evo 2 ternyata telah membina satu impak penontonan luar biasa di mana ia juga mengatasi kutipan filem-filem import," katanya.

Pada majlis itu, Gobind turut meraikan 10 filem tempatan yang meraih pencapaian di luar negara iaitu Redha, Shuttle Life, Adiwiraku, Sughammai Subbulakshmi, Thottam: The Garden, Interchange, Guang, A House of Happiness, Aqerat dan One Two Jaga.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Finas Malaysia