Pelakon Rita Rudaini akui tidak pernah menghalang bekas suaminya, Aidil Zafuan untuk berjumpa dengan kedua-dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

Menurut Rita, Aidil sudah lebih kurang lima tahun tidak pernah menghubunginya serta berjumpa dengan anaknya.

“Saya tidak pernah ada masalah dengan bekas suami malah tidak pernah menghalangnya untuk berjumpa dengan anak-anak.

“Jika dia hendak berjumpa atau menghubungi anak-anaknya saya masih menggunakan nombor telefon yang sama serta tinggal di rumah yang sama,” katanya kepada Gempak.

Rita ditemui ketika pusingan akhir Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 di Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Pun begitu Rita berkata anak-anaknya tidak pernah meminta untuk berjumpa dengan bapanya kerana perpisahan itu sudah lama iaitu ketika mereka masih kecil.

“Mereka tak pernah minta nak jumpa Aidil, tapi saya sendiri yang sering bertanya adakah mereka hendak berjumpa.

“Mereka beritahu hanya akan pergi jumpa bapanya jika saya izin dan jika saya bersama-sama dalam perjumpaan itu. Saya pun kata saya okay serta tiada masalah.

“Itulah sebenarnya saya sengaja membuka ruang pada Aidil untuk berikan sendiri tiket bola sepak ketika perlawanan AFF Suzuki baru-baru ini.

“Supaya ada juga ‘bonding’ antara bapa dan anak tetapi nampaknya ia tidak menjadi,” katanya lagi.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar dan Aidil berkahwin pada 2008, namun bercerai pada September 2013.