Sanggupkah anda hidup setahun tanpa telefon pintar anda?

Jika jawapan anda ya, anda berpeluang memenangi wang tunai AS$100,000 (RM418,544) menerusi cabaran #nophoneforayear.

Pertandingan anjuran jenama minuman tenaga, Vitaminwater itu memerlukan anda memuat naik entri di Twitter, Instagram dan Facebook, dengan menyatakan perancangan anda untuk menjalani kehidupan selama setahun tanpa menggunakan sebarang bentuk telefon pintar, termasuk tablet.

Peserta yang terpilih akan diberikan sebuah telefon bimbit biasa yang hanya mempunyai kemudahan membuat panggilan. Jika anda berfikiran licik dan merasakan anda boleh menggunakan telefon milik rakan atau ahli keluarga, lupakan kerana itu juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun peserta masih dibenaran menggunakan komputer, komputer riba serta fasiliti teknologi lain seperti Google Home dan Amazon Echo.

Pengurus jenama bersekutu Vitaminwater, Natalia Suarez, memberitahu portal CNBC, idea mengadakan pertandingan itu adalah kerana mereka mahu mencabar kebiasaan dan mengubah obsesi masyarakat terhadap telefon pintar.

"Tiada rutin yang lebih membosankan daripada menggunakan telefon pintar untuk melayari laman sosial setiap masa. Kerana itu, kami mencabar orang ramai untuk menukar rutin itu dan melakukan sesuatu yang lebih bermakna dengan masa mereka," kata Suarez.

Sumber: Astro Awani