Pelakon dan juga suami kepada Jihan Muse, Ungku Hariz tidak tergugat dengan populariti yang diraih Jihan hingga kini.

Malah, kata Ungku dia melihat perjalanan seni masing-masing melengkapi satu sama lain.

"Perjalanan seni saya dan isteri berbeza dan ya, saya akui dia lagi popular berbanding saya walaupun kami bermula pada masa sama.

"Untuk saya, tahun 2018 adalah rezeki untuk anak dan sepanjang tahun ini alhamdulillah tawaran berlakon tidak putus.

"Harap-harap tahun 2019 akan lebih meriah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem televisyen Berani Jadi Papa baru-baru ini.

Dalam merencanakan karier, Ungku tidak meletakkan sebarang syarat sepertimana isterinya yang kini bergelar ibu.

"Jihan tegas dalam kariernya, selalunya dia akan meminta pihak produksi menamatkan penggambaran sebelum waktu Maghrib.

"Ini disebabkan status dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

"Namun, berbeza bagi saya yang akan bertoleransi dengan waktu penggambaran dengan pihak produksi.

"Contohnya seperti penggambaran filem Berani Jadi Papa yang biasanya berlanjutan sampai waktu malam malah adakalanya hingga ke Subuh," tambahnya.

Ungku kini muncul dengan filem televisyen Berani Jadi Papa bergandingan dengan Datuk Awie dan Rykarl Iskandar.

Berani Jadi Papa telah mula bersiaran di Astro First Eksklusif (480) mulai 6 Disember.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Berani Jadi Papa berulang kali selama 48 jam dari waktu pembelian.