Penyanyi popular, Aishah mengakui dirinya bertambah sihat selepas menjalani pembedahan perut pada Februari lalu.

Ujarnya, dia melalui pembedahan 'gastric bypass' di mana perutnya dipotong untuk dikecilkan.

"Ini sebenarnya untuk orang yang dalam kategori obesiti yang bertahun-tahun cuba diet dengan apa saja tapi badan susah nak turun.

"Jadi macam 'last resort' untuk mengecilkannya," katanya kepada program HLive.

Jelasnya, secara fizikal selepas pembedahan tersebut, dia memang tak boleh makan banyak dan hanya sekejap perut berasa kenyang.

"Alhamdulillah buat masa ini, selepas 2 bulan pembedahan tersebut, saya tidak digalakkan makan makanan pejal tapi selepas itu doktor suruh saya aktif.

"Nak buat senaman setiap minggu susah kadang-kadang saya cuba pergi main badminton tapi dalam karier ini saya aktif selalu ke sana ke mari.

"Saya rasa nak berjalan dari kapal terbang sampai ke terminal dah banyak berjalan. Kehidupan yang aktif juga memainkan peranan," katanya.

Mengenai kesan dari aspek fizikal, Aishah memberitahu ia bergantung pada individu.

"Macam kalau pesakit itu lebih muda, mungkin metabolik lebih laju macam saya nak masuk 54 tahun mungkin metabolik saya agak lambat.

"Tapi bagi saya macam nak keluar lagu, ia bukan risiko tapi untuk kesihatan. Bagi saya dulu sakit kaki semuanya dah banyak berubah," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @aishahjmm