Aktor Gambit Saifullah mengakui pengalaman berlakon dalam filem Paskal memberi impak mendalam pada dirinya untuk menjiwai kehidupan sebenar seorang anggota Paskal.

Jelasnya, dia juga belajar daripada pengalaman ketika berlakon yang mematangkan diri.

"Saya rasa kalau setiap penggambaran atau perjalanan dalam mana-mana kita pergi akan belajar sesuatu cuma benda itu lain apa yang kita belajar.

"Kali ini saya rasa antara pembelajaran yang sangat memberi impak pada saya bukan saja sebagai seorang pelakon tapi secara tak langsung dapat rasa macamana seorang paskal hidup bila di tengah laut," katanya kepada program HLive.

Ujarnya, merasai kehidupan anggota Paskal yang berada di tengah laut dengan bersendirian memberi ujian bukan saja dari segi fizikal tapi lebih kepada tekanan mental.

"Pada usia 32 tahun sekarang, pengalaman berlakon dalam filem ini membuatkan diri sendiri banyak berfikir.

"Ia mematangkan diri dari aspek itu dan saya juga banyak berfikir bukan soal perkahwinan tapi kehidupan," katanya.

Menariknya, selepas penggambaran dia mempunyai hubungan akrab dengann anggota Paskal sebenar apatah lagi tidak dapat melupakan kenangan ketika berlakon filem itu.

Akuinya, sepanjang berlakon filem aksi ini, dia juga banyak mengalami kecederaan tapi jiwa anggota Paskal meresap dalam dirinya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @gambitsaifullah