Pelakon Sasqia Dahuri meluahkan rasa syukur apabila akan disatukan dengan bakal suaminya, Muhammad Asyraff Khan pada Sabtu ini.

Menurut Sasqia, walaupun baru setahun lebih mengenali Asyraff namun dia yakin lelaki itu mampu untuk menjadi seorang suami yang baik untuk dirinya.

"Permulaan perkenalan kami bermula di media sosial apabila dia memberanikan diri untuk menegur saya menerusi Direct Message (DM) di Instagram.

"Segalanya bermula dengan Instagram hingga membawa kami ke fasa seterusnya dan akan melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini.

"Dalam masa sebulan juga kami berhubung melalui DM, sampai selepas itu dia minta no telefon saya dan semasa awal perjumpaan dia terus bawa jumpa keluarganya untuk kenal-kenal.

"Walaupun boleh dikatakan proses perkenalan kami agak singkat namun saya yakin dia mampu jadi yang terbaik untuk saya selepas kami mengenali hati budi masing-masing," katanya kepada Gempak.

Sasqia mengakui segala persiapan telah dilakukan dan tidak sabar untuk menantikan majlis perkahwinannya pada Sabtu ini.

Majlis persandingan diantara Sasqia dan Asyraff akan diadakan Ahad ini di Kuala Lumpur dan majlis sebelah pihak lelaki pula pada 29 Disember ini di Singapura.

Sebelum ini Sasqia selamat bertunang dengan seorang ahli perniagaan hartanah dari Singapura, Asyraff di Bangi Golf Resort pada 21 Januari lalu.