Memulakan kerjaya dalam bidang lakonan, nama Zara Zya semakin kukuh di persada seni tempatan.

Turut menceburkan diri dalam bidang nyanyian, single pertama Zara yang berjudul Tiada Denda sudah meraih lebih 2.5 juta tontonan di laman YouTube.

Biarpun single pertamanya mendapat sambutan, Zara belum mempunyai perancangan untuk hadir dengan single kedua.

"Alhamdulillah, lagu terbabit mendapat tempat di hati peminat semenjak dilancarkan pada pertengahan tahun ini. Buat masa ini, saya belum mempunyai perancangan untuk menghasilkan single kedua dalam masa terdekat.

"Saya belum terfikir lagi mengenai single kedua dan saya juga tak mahu gelojoh serta terburu-buru," katanya.

Tambah Zara, dia meletakkan bidang lakonan sebagai keutamaan dalam industri hiburan.

"Sejujurnya, saya takut saya tak boleh berikan komitmen yang sewajarnya. Bidang lakonan merupakan cinta pertama saya dan saya meletakkan bidang tersebut di tangga pertama.


"Untuk ke stesen radio mempromosikan lagu itu saya tiada masalah, tetapi untuk menyanyi bagi memenuni tawaran persembahan pentas atau acara, saya masih belum berani," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Zara kini sedang sibuk di set penggambaran drama bersiri Pia bersama Alif Satar, Naim Daniel, Azira Shafinaz dan ramai lagi.