Juara Big Stage, Sarah Suhairi menyimpan hasrat untuk berduet dengan penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah.

Setelah mendominasi program realiti tersebut, Sarah kini sedang giat mempromosikan single keduanya yang berjudul Nyawa dan Raga ciptaan Roomnone dan Iman Imran.

"Saya sedang gigih meneruskan promosi lagu Nyawa dan Raga. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Untuk karya seterusnya, saya menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan artis lain.

"Tetapi, semuanya masih berada dalam perbincangan. Semuanya tertakluk kepada persetujuan dua pihak. Dengan siapa, saya sendiri masih belum pasti.

"Jika ditanya impian saya untuk berkolaborasi, saya nak sangat berduet dengan Kak Dayang. Tapi, siapalah saya kerana dia sudah berada di tahap yang tinggi.

"Saya sendiri pun pastinya sukar untuk berada di tahap terbabit, mungkin akan mengambil masa 20 tahun untuk berada di kedudukan itu, saya sendiri pun tak tahu," kata Sarah.

Sarah juga mula berjinak dengan dunia lakonan dan kini membintangi drama bersiri Sis Cuba bersama Nabila Razali, Aiman Hakim Ridza dan Syifa Melvin.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).