Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow mendedahkan dia tidak akan menjual dokumentari 'Finesse: The 16 Baris Story' kepada mana-mana penyiar lain.

Menurut Joe, jika dia mengikut perasaan tamak akan menyusahkan peminat untuk mengakses dokumentari itu.

"Jika saya ingin menjadi seorang yang tamak, saya boleh menjual program ini ke mana-mana stesen televisyen.

"Namun, saya fikirkan peminat yang tidak mempunyai medium untuk menonton televisyen atau mana-mana aplikasi yang berbayar," katanya.

Joe ditemui pada majlis pelancaran dokumentari Finesse: The 16 Baris Story yang berlangsung di TGV One Utama, Petaling Jaya, pada Isnin lalu.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, berkata ini merupakan pertama kalinya rancangan muzik Malaysia langsung terus ke Youtube.

"Saya rasa ini antara sebab kenapa konsert pada Ogos lalu mendapat sambutan hangat.

"Lagipun, generasi sekarang adalah generasi Youtube. Bukan sahaja anak-anak muda bahkan termasuk diri saya.

"Secara jujurnya, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton Youtube daripada televisyen.

Dokumentari 'Finesse: The 16 Baris Story' yang berdurasi 30 minit menyingkap bagaimana 45 suara rap terunggul Asia Tenggara bertarung antara satu sama lain dalam seni hip hop paling tradisional iaitu perlawanan kata-kata secara spontan atau 'freestyle'.