Penyanyi rock legenda, Datuk Awie mendedahkan dirinya sekali lagi berdepan situasi cemas selepas balik mengerjakan umrah baru-baru ini.

Kata Awie, 50, sepanjang mengerjakan umrah keadaan dirinya sihat dan semua urusannya dipermudahkan sehinggalah pulang semula ke kediamannya.

"Ketika di Tanah Suci saya langsung tidak sakit, boleh berlari dan melakukan segala-galanya dengan baik.

"Balik sahaja ke rumah hari pertama badan mula rasa lain macam, isteri pun nampak perubahan itu dan katanya saya jadi lemah tiba-tiba.

"Pada hari kedua saya buang air besar berdarah dan kedua-dua kaki saya 'jammed'.

"Saya pun tak tahu kenapa dan itu yang pelik. Mungkin tak boleh balik Malaysia kot...," katanya ketika ditemui pada majlis pelacaran filem televisyen Berani Jadi Papa baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut pengalaman menunaikan umrah pertama kali dalam hidupnya kata Awie dia menitiskan air mata setiap kali selesai mendirikan solat sunat.

"Saya bersama jemaah lain melawat semua tempat yang pernah dijejaki Nabi Muhammad SAW di sana. Kami melakukan solat sunat di setiap lokasi.

"Setiap kali solat sunat itu juga saya menangis. Tetapi pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika berada di Taman Raudhah di Madinah.

"Seolah-olah berjumpa dengan kekasih. Saya menangis tak henti-henti di situ," tambahnya.

Jangan lepaskan peluang menonton keletah lucu Awie dalam filem televisyen terbaharu Berani Jadi Papa telah mula bersiaran di Astro First Eksklusif (480) mulai 6 Disember.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Berani Jadi Papa berulang kali selama 48 jam dari waktu pembelian.