Kumpulan Masin terkejut apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu keenam tetapi terselamat untuk meneruskan perjuangan dalam program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).

Masin yang dianggotai Refika Novianti Faturohman atau Vicha bersama Muhammad Abd Rahim Shah (Mamat Bora) dan Mohamamad Aizat Ahmad Nazri (Jiggy) menduduki peserta undian terendah selain kumpulan Puteh dan peserta solo, Dany Beler.

Bagaimanapun, Masin terselamat selepas pengaraca Datuk AC Mizal mengumumkan tiada penyingkiran berlaku pada malam itu.

Vicha berkata, mereka berhasrat mahu membuat persembahan lebih baik pada persembahan minggu ketujuh nanti.

"Ini pertama kali masuk sebagai 3 peserta terendah. Masa AC Mizal menyebut nama Masin, kami fikir memang betul dan bersedia nak bagi ucapan.

"Kaki kami pada masa itu sudah bergetar dan langsung tak boleh bergerak. Alhamdulillah rupanya masih ada rezeki untuk kami bertanding pada minggu depan," katanya kepada Astro Gempak.

Akuinya, mereka sebenarnya sudah menjangka jadi peserta dengan undian terendah sebab apabila bilangan peserta makin sedikit, semua peserta berusaha membuat persembahan terbaik.

"Tak tahu kenapa, masa latihan okay tapi ketika persembahan kurang okay. Itu yang terjadi.

"Kami tidak gementar atau lupa cuma mungkin kami adalah peserta terakhir yang membuat persembahan sehingga jadi tak jadi dengan 'punchline'," katanya.

Bagi saingan minggu ini untuk persembahan dengan tema dialek, Masin masih belum membuat keputusan mengenai gaya persembahan mereka nanti.

Jangan lupa menonton MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @mamat_bora