Penyanyi Mila Jirin menceritakan dia kadang-kadang berasa rindu untuk kembali aktif bergiat di industri hiburan.

Namun menurut Mila, dia kini sedang sibuk menumpukan perhatian terhadap perniagaan dan keluarga.

"Ya, tak dinafikan kadang-kadang saya teringin untuk kembali menyanyi.

"Kadang-kadang, bila tengok rakan artis membuat persembahan, lagilah membuatkan saya teringat zaman saya aktif menyanyi dahulu.

"Memang rasa rindu nak kembali bergiat dalam dunia seni, tapi suami saya kurang mengizinkan kerana anak saya masih kecil, mungkin apabila dia sudah besar saya boleh buat comeback," ujar Mila.

Mila berkata demikian ketika ditemui di Nona Superwoman Award 2018 bertempat di Sime Darby Convention Centre pada Selasa lalu.

Di anugerah tersebut, Mila menerima anugerah Nona Celebrity Business Award 2018 sebagai tanda penghargaan kepada kejayaannya dalam mengendalikan perniagaan dalam bidang katering dan perkhidmatan perkahwinan.