Penyanyi popular Datuk Awie, 50, tampil dengan imej berbeza berkepala botak selepas pulang daripada mengerjakan umrah hujung November lalu.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman mendedahkan itu merupakan kali pertama sepanjang hidupnya 50 tahun, dia membotakkan kepala!

"Sayalah yang paling terkejut! Ketika proses mencukur kepala, saya pejamkan mata dan berzikir.

"Saya tak nak tengok! Sebabnya daripada lahir sampai umur 50 tahun saya tak pernah botak!

"Apabila sudah habis, saya angkat plastik dan tutup muka sendiri, saya tak nak tengok cermin.

"Sehari setengah jugalah saya tak nak tengok muka sendiri dan tak masuk bilik air.

"Belakang kepala pun rasa ringan je. Apabila nak mandi untuk solat Subuh keesokannya barulah saya buka perlahan-lahan.

"Sekali tengok muka macam bola!" katanya kepada Gempak.

Ini juga merupakan pengalaman sulung Awie mengerjakan umrah dan vokalis kumpulan Wings itu berangkat ke tanah suci pada 18 November lalu bersama-sama rakan motorsikalnya di bawah kelab Wings Moto Gang Society (WMGS).

Cerita Awie lanjut, dia memberitahu khabar tentang perubahan imejnya itu kepada isteri beberapa hari kemudian.

"Hari kedua barulah saya beritahu isteri sebab saya sendiri tak tahu bagaimana nak beritahu.

"Katanya 'You dah botak!'," tambah Awie lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Awie bakal muncul dengan filem televisyen terbaharu Berani Jadi Papa bergandingan dengan Ungku Hariz dan pelakon kanak-kanak Rykarl.

Membawakan watak artis veteran bernama Sani Joned, Berani Jadi Papa akan mula menemui penonton pada 6 Disember 2018.

Berani Jadi Papa bakal bersiaran di Astro First Eksklusif (480) dan boleh dilanggan dengan hanya RM15 sahaja.