Sukar untuk menafikan kumpulan Taman antara peserta yang menyerlah pada setiap minggu termasuk aksi mereka ketika berlawak dengan tema kenangan.

Pelakon popular, Remy Ishak yang juga juri program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) menyatakan dia secara peribadi memilih Taman sebagai peserta paling menyerlah untuk persembahan minggu kelima lalu.

"Karakter antara Tauke dengan Man, mereka adalah pelakon yang bagus. Kalau cerita mereka secara senyap sekalipun, kita tetap boleh berhibur," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, aksi Taman agak sedikit merundum pada penghujung persembahan kerana bukan 'happy ending'.

"Saya okey sebab setiap minggu mereka sudah beri kita lawak. Kali ini bila mereka bawa tema kenangan, dia bukan saja pukul dalam studio tapi satu Malaysia.

"Kita juga ingat dengan arwah Pak Yus. Orang lama dalam industri tahu hubungan antara Tauke macamana dan saya okey untuk ‘tribute’ sedikit buat arwah Pak Yus," katanya.

Remy mengakui dia memahami cabaran peserta pada setiap minggu dalam mencari idea yang menghiburkan.

"Bila makin lama saya faham, nak jadi 'creator' memang susah sebenarnya. Lagi lama lagi susah sebab setiap minggu mereka kena ada idea.

"Orang lama juga akan penat dan ada beberapa persembahan agak merundum juga. Saya faham dah masuk minggu kelima, idea mereka tersekat," katanya.

Remy menyatakan dia tidak suka mencari kelemahan pada peserta tapi mencari benda yang positif untuk memberitahu mereka.

"Bukan tunggu bila mereka (Taman) buat silap, saya harap mereka terus kekal, konsisten dan bagi idea yang lebih menarik supaya kita pada setiap minggu ada benda yang menarik untuk penonton agar MLM 2018 memberi impak yang lebih besar.

"Ingat, ini pertandingan bukan mereka datang untuk buat persembahan biasa apatah lagi ada penonton di sini dan di rumah.

"Apabila juri bagi komen, saya rasa tak perlu mereka rasa 'down' sebaliknya perbaiki kelemahan," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak & IG @taukejambu