Pelakon Fasha Sandha enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan membuat laporan polis terhadap bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Fasha yang sedang menjalani penggambaran drama 100 episod Lara Aishah ketika dihubungi berkata kes tersebut sudah diserahkan kepada pihak peguam dan polis.

"Saya tidak mahu komen lanjut kerana kes ini sudah diserahkan kepada pihak peguam dan polis", katanya menerusi kiriman pesanan ringkas (SMS).

Isu mengenai laporan polis Fasha terhadap Jejai ditimbulkan sebuah blog hiburan tempatan pada petang Isnin.

Penulis blog hiburan tersebut mendakwa Fasha melakukan laporan polis terhadap Jejai kerana sering keluar masuk ke kediamannya tanpa kebenaran.

Menurut blog hiburan itu lagi, sumbernya turut mendakwa Jejai telah memarahi dan mengugut teman rapat bekas isterinya itu.

Fasha dan Jejai bercerai talak satu pada Januari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.