Persembahan kumpulan Abioso serba tidak kena pada minggu kelima program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) sehingga menjadi peserta seterusnya yang tersingkir pada malam itu.

Salah seorang anggota kumpulan tersebut iaitu Muhammad Gufron atau lebih dikenali sebagai Mamad memberitahu ketika latihan segala mengikut apa yang dirancang.

"Sebetulnya, ketika 'content check' dengan persembahan sebenar sama saja tapi tidak tahu kenapa di atas pentas MLM 2018 kami rasa berbeza," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, mereka terus berusaha memberikan persembahan dengan jenaka yang dirancang tapi malangnya tidak menjadi.

"Kami terus mencuba tapi tak sampai. Mungkin itulah rezeki kami setakat di sini. Apapun, kami minta maaf pada semua penyokong kami di Malaysia dan Indonesia," katanya.

Bagi Muhammad Ali Mufadhol atau nama singkatan Sarip berpandangan mereka mahu terus berlatih sebagai pelawak meskipun tersingkir dari MLM 2018.

"Jika diberi kesempatan pada tahun depan, kami mahu cuba nasib lagi. Kami tidak mahu putus asa apatah lagi menjadi pelawak adalah kerjaya buat kami," katanya.

Rakan mereka, Ahmad Aminuddin atau Ami pula menyatakan cabaran menjadi pelawak adalah sukar.

"Mungkin hari ini rezeki kami hanya sampai ke minggu kelima. Kami harus banyak lagi belajar.

"Kami sebenarnya mula gugup pada selepas 3 'punchline' apabila persembahan rasa tak kena. Mula-mula okey tapi bila tak sampai dan suasana jadi senyap," katanya.

Abioso juga mengakui perbezaan bahasa antara kedua negara memberi cabaran pada mereka untuk berlawak di sini.

Mereka mengakui lebih dikenali di negara sendiri dan 'punchline' sering sampai pada penonton di sana.

Sebagai pelawak, mereka juga tidak gugup dalam persembahan kerana sudah melalui pelbagai pengalaman berlawak di atas pentas.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi