Bertemu Syafie Naswip untuk temu bual eksklusif mengenai Polis Evo 2, beliau tertawa kecil cuba mengingat saat pertama beliau ditawarkan untuk filem penuh aksi tersebut.

Pada Syafie, terlalu banyak kenangan yang perlu diingati.

“Saya dapat tawaran polis evo masa pertengahan tahun 2016 dan saya pergi casting pada awal 2017. Pada masa tu saya ditawarkan watak Rafael, iaitu watak yang dibawa oleh Sofi Jikan. Watak tersebut watak jahat dan saya memang nak bawa watak jahat. Pernah bawa watak jahat untuk drama tapi untuk filem belum lagi.



“Saya mengharapkan sesuatu yang besar untuk saya buat comeback dalam filem. Dan sebagai seorang pelakon saya kena cari skrip dan direction yang betul untuk bagi kepelbagaian dalam kerja-kerja saya. Polis Evo 2 merupakan platform yang cukup bagus.

Menurut Syafie, ketika ke sesi ujibakat, beliau diberi dua tugasan oleh pihak produksi iaitu watak Rafael dan juga watak Mat Dan.

“Walaupun watak Mat Dan merupakan watak baik, tapi saya tak kisah juga sebab saya tak pernah bawa watak polis. Ketika casting saya memang nak dapatkan watak Rafael, tapi pada masa yang sama saya bagi 100% untuk watak Mat Dan juga.

“Tapi saya tak mengharapkan saya dapat pun sebab pada masa tu ada ramai pelakon yang datang casting untuk Polis Evo 2.


Tambah Syafie, apabila dihubungi oleh pihak produksi, mereka menawarkan watak Mat Dan kerana pada mereka watak tersebut lebih sesuai dengannya. Beliau kemudian diberi draf awal dan dimasukkan ke dalam sesi latihan mengenal senjata, menembak, perlu ke gim untuk menguatkan stamina dan beberapa latihan lain.

“Kalau kita ni pelakon yang tak mampu, kita tidak akan buat. Dan saya mengaku ada waktu-waktunya saya rasa give up jugak dan tidak mahu buat Polis Evo.

“Saya rasa tiga kali saya tolak untuk berlakon Polis Evo 2. Mereka lock saya dari bulan enam 2017 sampai bulan Februari 2018 dan dalam tempoh tersebut tiga kali saya tolak secara baik untuk berlakon Polis Evo 2 kerana saya rasa saya tak sampai piawaian yang mereka mahukan. Saya rasa saya ‘bad casting’ untuk watak Mat Dan. Senang cerita, saya rasa saya tak mampu buat,” kata Syafie cuba mengingat kembali.


“Apatah lagi Polis Evo2 menggabungkan nama-nama hebat daripada tiga negara, sememangnya platform yang sangat bagus untuk saya, cuma saya taknak buat benda yang menggabungkan nama-nama besar sahaja. Kalau boleh saya mahukan karakter yang saya lakonkan biarpun kecil, orang akan ingat.

“Bila shooting pun saya tak banyak bercakap dengan orang sangat, sebab saya takut kalau saya banyak bercakap saya akan hilang fokus saya. Setiap kali saya buat scene, saya akan pandang muka pengarah, saya nak tengok reaksi beliau.

“Sebagai pelakon saya kena ambil semuanya sebagai satu tanggungjawab besar setiap perkara secara serius, kena tahu tempo Mat Dan macam mana, dia punya movement, kena tahu adrenalin, dan motivasi sendiri.

Dalam tempoh enam bulan, ‘pistol’ menjadi sahabat baik Syafie. Belajar berkumpulan dan berlatih sendiri di hadapan cermin untuk menghidupkan Mat Dan.



“Saya tetapkan pendirian untuk melakonkan watak Mat Dan. Saya anggap setiap lakonan saya adalah satu instrumen muzik yang digunakan untuk melahirkan lagu untuk setiap watak dan Mat Dan adalah salah satu lagu yang saya cipta dalam kerjaya saya.

“Saya bersyukur selepas filem ini ditayangkan, orang boleh menerima watak Mat Dan tersebut dan perkara ini saya anggap sebagai permulaan untuk saya buat lebih baik dan lebih tekun dalam kerjaya saya.

“Saya menghargai mereka yang tahu bahawa saya mampu membawa watak Mat Dan ketika saya sendiri meragui kemampuan diri saya.

“Saya berharap lebih ramai yang akan menonton filem Polis Evo 2 kerana filem ini digarap dengan penuh rasa ingin menaikkan taraf industri filem tempatan. Kalau saya tidak berlakon di dalam filem ini sekalipun, saya pasti akan ke pawagam untuk menontonnya,” kata Syafie mengakhiri perbualan.