Aktres dan penyanyi popular, Datin Diana Danielle sedang aktif membuat persiapan untuk melancarkan beberapa buah lagu baru bermula tahun hadapan.

Menurut Diana, dia sudah lama meminati bidang nyanyian dan muzik namun rezekinya bermula menerusi dunia lakonan.

"Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk saya lebih serius dalam nyanyian kerana saya sudah lama menantikan saat ini.

"Saya telah mula menulis lagu sejak umur 10 tahun namun selama ini saya tidak tunjukkannya dan hanya memberi fokus yang lebih dalam bidang lakonan.

"Sekarang, saya sedang dalam proses untuk menyiapkan beberapa buah lagu hasil kerjasama dengan Alif, insya-Allah ia akan menemui peminat bermula tahun hadapan, saya harap tahun 2019 akan menjadi tahun muzik untuk saya," ujar Diana.

Diana berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single Infiniti hasil kolaborasi bersama penyanyi Singapura Reyza Hamizan dan NeonSoul bertempat di Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Infiniti merupakan sebuah lagu yang ditulis secara generik dan boleh ditafsirkan sebagai lagu ketuhanan, senikatanya segar dan menggalakkan pendengar untuk membuat tafsiran sendiri.