Pelakon filem Polis Evo 2, Hairul Azreen akui terkena tempias alahan isterinya aktres Hanis Zalikha yang kini hamil empat bulan.

Menurut Hairul, dia kerap berasa letih selain suka menonton rancangan memasak.

“Masa mula-mula Hanis hamil, lebih kurang dalam tempoh sebulan dua begitu saya juga terkena tempiasnya.

“Saya kerap rasa penat dan loya. Selain itu saya jadi suka menonton rancangan memasak dan paling kelakar bila saya sendiri beritahu Hanis saya mahu buat kek.

“Reaksi Hanis memang ‘priceless’ sehinggakan dia sendiri pelik dengan perubahan saya.

“Mungkin sebab dia hamil jadi kita pun terkena sekali. Sekarang ini alahan saya dah hilang dan kembali seperti biasa,” ujarnya.

Hairul ditemui di majlis apresiasi filem Paskal The Movie bertempat di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas mengenai kandungan isterinya, Hairul memberitahu bayi berada dalam keadaan sihat.

“Kami baru sahaja buat pemeriksaan semalam dan buat masa ini jantina masih belum tahu lagi.

“Alhamdulillah, ‘baby’ sihat cuma Hanis sajalah yang mengalami alahan teruk.

“Setakat ini Hanis tidak mengidam apa-apa yang pelik tapi selalunya benda yang dia mahukan itu senang nak dapat. Kalau susah, saya pun ‘nervous’ juga,” katanya.

Terdahulu, Hanis Zalikha berkahwin dengan pelakon Hairul Azreen pada 5 Jun 2015 di Bukit Jelutong, Selangor dan menimang cahaya mata pada 3 Jun 2016.

Dalam perkembangan lain, Hairul terlibat dengan filem Polis Evo 2 yang sudah pun ditayangkan sejak 22 November lalu.

Selain Hairul, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew ini turut menampilkan Shaheizy Sam, Zizan Razak, Hasnul Rahmat, Raline Shah, Erra Fazira, Soffi Jikan dan Syafie Naswip.

Foto: Instagram @hairulazreen