Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza terkejut komposer terkenal Bollywood, A.R Rahman sudi mengunjungi kediamannya di Bukit Antarabangsa.

Siti ketika ditemui Astro Gempak berkata dia mendapat tahu tentang A.R Rahman ingin bertemu dengannya selepas diberitahu oleh rakan suaminya.

“Pada mulanya saya terkejut bila mendapat tahu dia (A.R Rahman) ingin bertemu dengan saya. Tetapi selepas rakan suami mengesahkan tentang perkara tersebut saya macam tak percaya.

“Kebetulan saya pula sibuk dengan sesi penggambaran di rumah ketika itu dan suami saya telah mencadangkan untuk menjemput sahaja A.R Rahman ke rumah kami.

"Lebih mudah untuk berbual dan bertegur sapa kata suami saya. Tak sangka A.R Rahman menerima pelawaan saya dan itu merupakan pengalaman yang cukup bermakna buat saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Terbaru Simply Siti Luminous White.

Selain itu Siti turut memberitahu tentang perbualannya dan A.R Rahman ketika kunjungan komposer popular tersebut ke rumahnya.

"Kami banyak berbual mengenai kerjaya nyanyian masing-masing antaranya merancang untuk rakam lagu dan album bersama.

“Dia juga tahu yang saya pernah berduet dengan Sami Yusof untuk lagu ‘You Came To Me’ dan telah mencadangkan agar saya, dia dan Sami boleh bekerjasama untuk hasilkan sebuah lagu.

“Itu semua hanya peringkat cadangan, selebihnya saya serah kepada rezeki dan keputusan daripada pihak A.R. Rahman,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, produk terbaru Simply Siti Luminous White merupakan set lengkap untuk pencerahan kulit dan lebih berseri.

Luminous White akan mula dipasarkan dalam waktu terdekat di pasaraya dan farmasi di seluruh negara.