Akhirnya Norashikin Mohamad Aziz atau Nouryl, ibu kepada Puteri Balqis Azizi, bersuara mengenai video sekumpulan individu yang diviralkan oleh sebuah blog hiburan dua hari lalu.

Bercerita mengenai sebelum kejadian berlaku, Nouryl berkata dia meminta tolong salah seorang kawannya bagaimana untuk membuat rawatan alternatif.

“Sebelum ini saya dah cuba beberapa rawatan alternatif untuk Aqish tetapi mahal sampai beribu. Dia cakap dia akan tolong dan saya appreciate dia nak tolong. Tapi saya tak tahu yang alternatif tu jadi sampai macam tu.

“Saya tak tahu sampai letak dalam FB, dia cakap ada kawan dia datang akan tolong, saya benarkanlah, tapi saya tak tahu sampai mereka datang buat untuk buat live video untuk sebarkan dalam blog hiburan kerana saya dah beritahu awal-awal saya tak nak libatkan media, saya taknak libatkan orang luar, kalau apa-apa pun biar sesama kita saja tapi bila jadi macam tu saya jadi sangat terkilan. Saya tak mahu orang kata saya nak minta simpati.

“Saya masih lagi bekerja. Saya bekerja siang malam. Siang saya kerja lain, malam saya kerja lain. Dan kadang-kadang saya terpaksa bawa aqish kerana tak mahu tinggalkan dia keseorangan di rumah.

“Bila orang datang melawat dengan cara macam tu, saya jadi serba salah. Saya tak tahu apa nak buat kerana ianya akan melibatkan semua orang.

“Jadi bila disebarkan macam tu yang malunya saya, dan yang dapat tempiasnya Balqis. Saya taknak orang ingat saya minta simpati sampai macam tu sekali. Bila saya cakap pada mereka ‘jangan’, mereka tak nak dengar, dan bila jadi macam ni yang kenanya kamilah.

“Aqish memang sakit tapi dia bukan terlantar. Dia demam dan sedang tidur masa mereka datang buat video tersebut. Walaupun saya dah beritahu mereka awal-awal Aqish sedang tidur sebab baru lepas makan ubat, mereka tetap berulang-ulang mengatakan Aqish uzur, Aqish uzur! Saya seorang diri, saya tak dapat buat apa-apa”, kata Nouryl dalam nada kesal.

Dia sama sekali tidak menyangka kunjungan itu bermotifkan publisiti.

“Saya dah cakap pada mereka jangan masukkan dalam blog, mereka tetap buat jugak. Ya saya tahu nak tolong, tapi itu bukan caranya.

“Ini pertama kali tiba-tiba datang buat video macam tu, terkilan sangat tapi mulut saya tak tercakap. Yang mampu saya cakap jangan bang, nanti benda ni jadi besar.

“Bila dah jadi viral, saya jadi frust, saya jadi blur. Siapa sebenarnya ikhlasnya dengan aku ni? Kalau dulu saya susah nak percaya orang, sekarang buatkan lagi saya susah nak percayakan sesiapa.

“Sebelum ini orang kata banyakkan kawan-kawan tapi sekarang ni saya jadi confuse sama ada dorang bantu ikhlas atau tidak? Apa sebenarnya dorang nak? Tolong tu untuk apa? Untuk publisiti ke?

“Mereka hulurkan derma dalam lima ratus ringgit. Ikhlas saya cakap, petang tu saya pergi surau, saya letak dalam tabung surau, saya tak ambil satu sen pun. Kerana saya rasa terkilan. Ya, saya memang perlukan duit untuk rawatan Balqis tapi kali ini saya tidak mahu terima dalam keadaan macam ni.

Ditanya apakah pesanan Nouryl kepada semua yang melihat video tersebut di luar sana, air mata mengalir di pipi.

“saya tidak pernah minta derma. Saya masih ada tenaga lagi untuk jaga anak saya. Saya masih kuat lagi untuk jaga anak saya. Saya tak perlukan macam tu sama sekali untuk meraih simpati satu Malaysia. Jadi tak payah buat kutipan derma. InsyaAllah, saya masih ada lagi kawan-kawan yang rapat dan setia dengan saya yang boleh bantu saya dalam diam tanpa minta publisiti atau balasan.