Kumpulan nasyid, UNIC akui sambutan peminat terhadap Konsert Ainul Mardhiah yang bakal berlangsung pada 7 Disember depan amat memberangsangkan.

Malah tiket konsert sempena meraikan ulang tahun ke-17 pembabitan UNIC dalam industri muzik bagi tempat duduk Platinum (RM150) telah pun habis dijual.

Lebih mengharukan, anggota UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh mendedahkan terdapat seorang peminat daripada golongan OKU (Orang Kurang Upaya) telah membeli tiket konsert itu untuk memberi sokongan.


“Buat pengetahuan hasil sebahagian jualan tiket akan disumbangkan kepada Pusat Tahfiz Yayasan Fakeh yang menempatkan pelajar tahfiz autisme, Persatuan Anak-Anak Kanser dan Persatuan Kebajikan Pelajar UPSI.

“Jadi, kami telah menerima seorang peminat daripada golongan OKU yang memberitahu mahu membeli tiket konsert meskipun dia tidak mampu untuk hadir.

“Kami sangat terharu kerana bukan sahaja kerana dia peminat tetapi niatnya yang berhasrat untuk menderma dan membantu golongan lain yang serba kekurangan,” katanya kepada Gempak.




Selain Najdi, UNIC turut dianggotai oleh Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin

Mengulas mengenai konsert yang diberi nama Konsert Ainul Mardiah itu, Najdi berkata, selain meraikan ulang tahun ke-17 UNIC, ia juga sempena sambutan Maulidur Rasul, baru-baru ini.

“Sebenarnya kami memilih nama Ainul Mardiah kerana sudah banyak nama konsert sempena Maulidur Rasul contohnya Malam Cinta Rasul atau Cinta Nabi.

“Ia juga sempena kemenangan UNIC di Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu,” katanya lagi.
Tiket konsert masih lagi dijual iaitu jenis Gold (RM100) dan Silver (RM50).

Konsert Ainul Mardiah akan berlangsung di Dewan Besar UPSI, Tanjung Malim bermula jam 8.30 malam.