Kumpulan Shiro yang dianggap sebagai peserta otai dalam saingan program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) mengakui berlawak di atas pentas bukan suatu mudah walaupun mempunyai banyak pengalaman.

Salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Ajak memberitahu sesiapa saja boleh tersingkir jika gagal membuat persembahan yang menghiburkan.

"Walaupun ada pengalaman, ia sebenarnya tidak mudah kerana di pentas MLM 2018 tak kira besar mana nama pelawak itu kalau kita tengok sebelum ini, malahan ada pelawak yang jadi juri sebelum ini pernah tersingkir," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, Shiro juga masih mempunyai perasa gemuruh di belakang pentas sebelum membuat persembahan.

"Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat lihat juri-juri pandai buat kajian tentang lawak, kita rasa adil sikit," katanya.

Bagi persembahan minggu keempat, Shiro berpuas hati dengan persembahan mereka.

"Semua benda kami rancang menjadi. Saya dengan Shahrol ketika berbincang di belakang pentas, kami rasa puas hati dengan persembahan.

"Kami bersyukur sebenarnya. Kami bukanlah kata Shiro bagus tapi bila dalam komuniti pelawak, kami nak tengok lawak kita dengan lawak negara luar. Jika lawak kita masih menggunakan gemuk, kurus, jongos dan hitam, lawak kita tak ke mana," katanya.

Merujuk pada komen salah seorang juri iaitu Remy Ishak yang memuji kehebatan pelawak senior, Ajak berpandangan faktor tersebut datang dengan pengalaman.

"Kami juga pada peringkat awal agak mencabar. Banyak buat kesilapan apatah lagi pada masa itu, kita lawan Jozan, Sepahtu dan Jambu.

"Tapi orang kata dari pengalaman 2 hingga 3 tahun lepas itu kami dapat rentak. Bila dapat peluang masuk MLM buat betul-betul kerana kalau buat bagus, akan bagus sepanjang tahun dan 'job' pun penuh tapi kalau tak bagus di situ saja," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak