Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui kejadian dan kesedihan yang dilalui sepanjang setahun 2018 terbayar apabila lagu Di Matamu mara sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-33 tahun hadapan.

Kata Sufian, dia akui lagu Di Matamu amat dekat dengan jiwa pendengar Malaysia dan menjadi sinonim sebagai sebuah lagu sedih tahun ini.

"Saya lega dan gembira apabila lagu Di Matamu diumumkan ke pentas AJL33 dan harus diakui lagu ini menjadi lagu sedih sinonim dengan rakyat Malaysia untuk tahun 2018.

"Orang sudah lupa dengan lagu Terakhir.

"Mungkin secara statistiknya, ramai yang menonton muzik video di YouTube, orang banyak dengar, melodi dan cerita di sebalik lagu ini pun membuatkan orang minat.

"Oleh itu, saya pasti ramai yang mahu melihat lagu ini dipersembahkan bertaraf nasional di AJL33 nanti," katanya kepada Gempak.

Menegaskan lagu ini tiada kaitan dengan kehidupan peribadi, namun peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 'menambah rasa' dan menjadikan impak Di Matamu lebih besar.

"Lagu ini sudah lama dirancang, tiada kaitan pun dengan kehidupan peribadi namun orang tahu apa yang terjadi.

"Ini antara hikmah selepas apa yang berlaku dalam hidup saya dan rasa terbayar," tambahnya.

Lagu Di Matamu dilancarkan selepas pertunangannya dengan pelakon Elfira Loy putus sekitar Februari lalu.

Di Matamu antara 12 finalis yang akan ke pentas AJL33 pada 3 Februari 2019.

Selain itu, antara lagu lain yang mara ke AJL33 ialah Semakin (Siti Sarah), Sampai Bila (Misha Omar), Luluh (Khai Bahar), Tak Pernah Hilang (Amylea ft Kaer) dan Nisan Cinta (Jaclyn Victor & Siti Nordiana).