Pengarah drama terkenal, Rashid Sibir mengakui perubahan zaman dulu dan kini menunjukkan kemajuan filem negara jiran lebih ke hadapan daripada perkembangan filem di negara sendiri.

Jelasnya, dibandingkan pada tahun 1970-an Indonesia memanggil pengarah dan pelakon dari Malaysia ke sana untuk berkolaborasi menerbitkan filem di sana.

"Pada tahun 1990-an, tiada lagi sehingga bermula pada tahun 2000, filem dari negara jiran itu meinggalkan jauh filem kita.

"Begitu juga Thailand, mereka boleh menghasilkan sebuah filem sebagai contoh kisah maharaja yang begitu hebat dengan sokongan kuat daripada kerajaan," katanya ketika program Kopi FDAM Kaw, semalam.

Secara jujur, Rashid berpandangan filem dan drama tempatan tidak dianggap sebagai sumber dalam menjana pendapatan negara.

"Tidak seperti di India, filem mereka hebat tak hebat boleh dibuat di London atau di mana-mana saja sebab filem mereka mendapat sokongan daripada kerajaan.

"Filem adalah lambang kejayaan atau penceritaan atau hak sebuah kerajaan. Bagaimana kita nak jual filem tempatan atau bagi orang lain tengok, kalau tidak mendapat sain daripada kerajaan, filem kita tak akan pergi ke mana-mana," katanya.

Rashid yang cukup dikenali menerusi drama bersiri popular, Tanah Kubur mengakui matlamat penggiat seni untuk mengangkat karya pergi ke luar negara cukup susah kerana filem tempatan tidak dianggap menyumbang ekonomi.

"Kita ada banyak filem bermutu seperti lakonan Datuk Rahim Razali dan Datuk Sarimah Ahmad tapi sejauh mana filem itu pergi. Zaman moden ini ramai anak muda yang mempunyai banyak idea untuk buat filem, jika kita ada duit filem jenis apapun kita boleh buat," katanya.

Ujarnya, karya tempatan perlu mendapat sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Malah, aspek mutu dan persembahan sesuah filem jika diukur dengan filem luar negara seperti Hollywood perlu diberi perhatian lebih mendalam.

"Seperti filem Thailand selain saya gemar menonton filem hantu, filem mereka membawa mutu dari persembahan budaya yang begitu kuat," katanya.

Secara dasarnya dia mengakui penerbitan TV mahupun filem tidak jauh beza kerana ramai penonton sudah menggunakan TV besar dan pengarah tidak lagi 'takut' untuk mengambil 'wide shot' disebabkan saiz TV yang kecil.

"Selepas menjadi graduan dulu, saya ingin membawa industri ke arah lebih besar tapi filem kita kelompoknya masih di sini. Kita tidak mahu menidakkan karya kita yang sudah keluar, apa yang ada masih di sini dan kita tidak keluar ke mana pun," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto:IG @rashidsibir