Chef Selebriti, Anis Nabilah bakal berkongsi hampir 39 resepi baru kepada selebriti tempatan tanah air menerusi program Eat Clean With Anis di Astro Bella bermula 22 Mei ini.

Program berkonsepkan santai itu menampilkan artis popular seperti Amy Search, Diana Danielle, Miera Leyana, Afiq Muiz, Faizal Hussein, Amar Baharin, Soo Wincci, Nik Michael, Sharifah Sakinah, Yasmin Hani, Adeline Tsen, Atilia dan Nana Mahazan.

Lebih istimewa, setiap selebriti ditampilkan mengikut tema yang sesuai dengan diri mereka.

Sebagai contoh di episod pertama, Diana Danielle akan berkongsi tips dan pandangan kesihatan dari perspektif fasa selepas melahirkan kandungan.

Sementara itu Anis Nabilah atau Chef Anis sebagai hos program 13 episod tersebut akan memperkenalkan resipi baru mengikut tema ditetapkan setiap minggu untuk membantu masyarakat menjalani hidup sihat dengan hidangan yang lazat.

Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim berkata, Eat Clean With Anis merupakan rancangan masakan pertama di Malaysia yang menampilkan konsep pemakanan sihat di dalam setiap menu yang dihasilkan, baik pembuka selera, hidangan utama sehinggalah pemanis mulut.

“Astro Bella mahu memberi kesedaran kepada mereka di luar sana bahawa dengan pendekatan yang betul, kita mampu menghasilkan menu sihat semudah ABC.

"Oleh sebab itu, kami sangat teruja untuk berkongsi segala resipi yang dipaparkan dalam rancangan ini. Bukan itu sahaja, resipi yang dihasilkan menggunakan bahan asas semulajadi yang tidak diproses di mana penggunaan bahan asas yang segar dapat menghasilkan makanan yang menyelerakan dan menyihatkan,” katanya.


Eat Clean With Anis bakal disiarkan menerusi Astro Bella (saluran 133) dan Mustika HD (saluran 134) pada setiap hari Ahad, jam 7.00 malam bermula 22 Mei 2016.

Buat mereka yang terlepas menyaksikan program masakan ini, anda boleh mendapatkan segala resipi yang telah dipaparkan di aplikasi SUUDU, menerusi e-Book, Eat Clean With Anis, yang bertindak selaku one stop centre kepada dimensi makanan sihat masa kini.

Teks oleh Syafiqah Jalal