Penyanyi Misha Omar sempat bertemu dengan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat sebelum beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 33.

Lagu nyanyian Misha, Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Shah Shamshiri bersama Fedtri Yahya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-33.

"Saya memang berguru dengan Syafinaz. Saya mendapatkan tips dan teknik bagaimana mahu menyampaikan lagu Sampai Bila dengan berkesan.

"Petang sebelum persembahan separuh akhir, saya sempat bertemu dengan Syafinaz untuk mendapatkan 'pecutan terakhir'.

"Saya juga mendapatkan bantuan Shaffiq Erwin selaku tutor vokal di belakang pentas. Saya mahu menyampaikan lagu Sampai Bila dengan cara yang berbeza," kata Misha.

Bersyukur dapat mara ke AJL33, Misha tak sabar menantikan kemeriahan acara berprestij itu.

"Penyertaan kali ini membabitkan gabungan penyanyi lama dan baru. Artis yang 'sebaya' seperti saya seperti Siti Sarah, Jaclyn Victor dan ramai lagi turut sama-sama bersaing di AJL33.

"Saya akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu tersebut. Semuanya demi peminat yang tak henti memberikan sokongan semenjak lagu terbabit muncul," katanya lagi.

AJL33 bakal berlangsung pada 3 Februari 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Foto: Instagram Muzik Muzik 33 / @badrulazhar_