Penyanyi rap, Altimet membalas komen negatif yang dilontarkan kepadanya selepas mengesahkan tidak akan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).

Altimet mendedahkan komen negatif yang mendakwa dirinya sekadar mahukan perhatian.

Komen itu dimuat naik Altimet menerusi IG story miliknya baru-baru ini.

“Altimet kalau nak bersara tolong undur diri dari AJL. Biar lagu lain masuk. Tahun lepas sembang cakap nak bersara tapi tahun ini masuk balik. Sembang je,” tulis pengguna id @pujanggaterpilih.

Altimet kemudiannya membalas komen tersebut secara sinis.

“Kalau nak komen, dapatkan info dulu. Saya kata saya nak berhenti buat persembahan. Jadi lagu bunga ini orang lain akan persembahkan.

“Saya tulis lirik lagu ni. AJL ni pertandingan tulis lagu, bukan pertandingan menyanyi. Kalau tak cukup maklumat jangan bukak mulut, nanti ada orang kat sini label awak bingai.

“Bukan saya, saya tahu awak kurang maklumat. Tapi mungkin orang lain. Terima kasih sebab bagi pandangan,” tulisnya.

Bagaimanapun, komen tersebut kemudiannya telah pun dipadamkan oleh pengguna id berkenaan.

Mengetahui perkara tersebut, Altimet kemudiannya menulis komen dengan nada bergurau.

“Aii delete komen ke sedagher? Pujanggaterpilih ke pujanggaterpadam?” tulisnya.

Terdahulu, Altimet telah mengumumkan untuk bersara daripada bidang nyanyian dan sudah memilih penyanyi yang bakal menggantikannya untuk mempersembahkan lagu Bunga di pentas AJL33 nanti.

Foto: Google