Kes saman fitnah oleh pengacara rancangan MeleTOP, Noor Neelofa Mohd Noor terhadap pengendali portal Oh My Media (OMM) berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara terbabit dimaklumkan oleh peguam Amira Farhana Mohd Yasir yang mewakili Neelofa selepas kes disebut semula.

Menurut Amira, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Penghakiman persetujuan sudah ditandatangani serta direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye di kamarnya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, terma persetujuan tidak dapat didedahkan kepada media dan umum.

OMM Sdn Bhd diwakili peguam Aiman Ariff Abdul Azij.

September lalu, Neelofa memfailkan saman terhadap OMM Sdn Bhd atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita yang diterimanya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Neelofa selaku plaintif mendakwa OMM Media selaku defendan ada mengeluarkan dan menyiarkan dua artikel berunsur fitnah terhadapnya di laman webnya pada 5 Mac dan 11 April lalu.

Neelofa mendakwa penerbitan artikel itu menyebabkan reputasinya tercemar serta mendakwa artikel itu tidak benar dan diterbitkan oleh defendan tanpa memberi peluang kepadanya untuk menafikan kenyataan itu.

Sumber: Harian Metro