Bakat baru, Amy Ziana cukup bertuah apabila bakat lakonannya dicungkil Mamat Khalid tapi sebaliknya, dia berkecil hati dengan pengarah filem terkenal itu.

Ujarnya, dia bersyukur kerana sebelum ini diberi peluang membintangi filem Rock Bro yang menjadi filem pertamanya beraksi di layar perak.

Menariknya, Amy diberi kepercayaan untuk membawakan watak pembantu sebagai ratu rock terkenal, Ella dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, peminat mula tertanya-tanya ke mana perginya 'Ella' dalam filem sekuel, Rock 4: Quo Vadis Komer yang khabarnya baru saja selesai penggambaran baru-baru ini.

"Tak tahu kenapa abang Mamat tak panggil saya berlakon lagi. Mungkin dia sudah lupakan saya atau watak Ella memang tiada kesinambungan dalam filem terbaru, Rock 4 kali ini," katanya kepada Astro Gempak.

Amy sebelum ini mengakui dia ada menerima pelbagai tawaran berlakon drama dan telefilem. Malah, sebagai pelakon baru dia tidak kisah untuk hadir cuba nasib dalam ujibakat yang diadakan tanpa hanya menunggu tawaran berlakon datang kepadanya.

"Sebenarnya, selepas filem Rock Bro, saya masih berlakon dalam 4 telefilem bersama abang Mamat.

"Sehingga kini, saya masih minat berlakon dan mahu teruskan bidang seninya secara serius. Matlamat saya adalah mahu berlakon secara sepenuh masa sehingga menjadi seorang pelakon yang sukses dalam karier seni," katanya.

Dalam filem Rock Bro dulu, Amy juga menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian apabila meniru suara beberapa penyanyi terkenal seperti Ella, Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Elly Mazlein untuk menjayakan watak dalam filem itu.

Meskipun 'berkecil hati' dengan Mamat, Amy masih terus bersemangat untuk berlakon dan mahu mencuba pelbagai watak yang ditawarkan pada masa akan datang.

"Sekarang ini saya masih menunggu tawaran berlakon daripada mana-mana produser dan pengarah. Insha Allah saya berusaha berikan komitmen terbaik dalam setiap lakonan yang saya buat," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @amyziana1