Penyanyi Syafiq Farhain kini melebarkan sayap sebagai seorang pengacara.

Selamat tamat dengan program Big Stage, Syafiq mahu mencuba pelbagai cabang dalam bidang seni.

"Alhamdulillah, selepas Big Stage, saya mula mendapat tawaran berlakon. Saya menjayakan watak sebagai seorang anggota bomba dalam filem Hero The Movie.

"Biarpun saya memegang watak bomba yang sangat serasi dengan saya, ia merupakan satu cabaran kerana saya tak pernah berlakon sebelum ini.

"Selepas itu, saya juga mendapat tawaran bergelar pengacara. Kini saya sedang sibuk mengacarakan rancangan bercorak travelog yang berjudul Apa Lagi, Terengganulah.

"Rancangan ini akan memaparkan keindahan negeri kelahiran saya iaitu Terengganu. Pada awalnya, agak sukar tapi saya jadikan ia sebagai cabaran dan proses pembelajaran," kata Syafiq.

Menafikan dirinya tamak, Syafiq hanya melengkapkan portfolionya sebagai seorang anak seni.

"Alang-alang sudah bergelar anak seni, tiada salahnya jika saya mencuba. Saya mahu mengutip pengalaman dalam pelbagai bidang seni, baik dari segi nyanyian, lakonan juga pengacaraan.

"Namun begitu, cinta pertama saya tetap bidang nyanyian kerana bidang ini yang memperkenalkan nama saya dalam industri hiburan," katanya lagi.



Syafiq ditemui sejurus usai membuat persembahan di Kejohanan Badan Cantik Mr Sexy 2.0 2018 anjuran Fitness Inspire di Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.

Selain Syafiq, pertandingan yang membabitkan lebih 300 peserta itu diacarakan oleh Haziq Hussni dah Sharifah Shahirah. Anuar Zain dan Syamel turut sama memeriahkan acara serta membuat persembahan.

Turut hadir adalah Pengarah Urusan Fitness And Health Inspire Sdn Bhd, Fahrulrazi Kassim.




Pertandingan terbabit membabitkan tiga kategori iaitu atas 170 sentimeter, bawah 170 sentimeter, junior (bawah 23 tahun), Best Pose dan Champ of Champ Mr Sexy.

Juara kategori Junior dirangkul oleh Muhammad Akhtar Shamin yang membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala juara bawah 170 sentimeter diungguli oleh Syarul Mike Mahen yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM9999.99.

Juara atas 170 sentimeter diungguli oleh Muhd Ammar Afandi yang membawa pulang wang tunai RM9999.99 dan juara Champ of Champ Mr Sexy juga turut diraih oleh Syarul Mike Mahen yang membawa pulang wang tunai RM1,500.