Penyanyi Syamel mahu mengurangkan lagi berat badannya bagi menambah keyakinan diri sebagai seorang penyanyi dan penghibur.

Di awal pembabitannya dalam dunia hiburan, Syamel pernah mempunyai berat badan sebanyak 99 kilogram.

Kini, Syamel mempunyai berat badan sebanyak 80 kilogram dan mensasarkan untuk turun lagi sehingga 70 kilogram pada tahun hadapan.

"Saya kurangkan berat badan bukan kerana mahu tampil sado, cuma saya mahu menambah keyakinan diri agar kelihatan segak dan bergaya. Saya juga mengambil kira faktor kesihatan.



"Jika berkesempatan, saya sering bermain futsal atau pun menghabiskan masa di gimnasium. Sekurang-kurangnya, tiga kali seminggu.

"Sejujurnya, badan besar atau kurus tiada masalah pun kerana ia pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, biarlah sihat.

"Saya mahu mengurangkan berat badan atas pilihan sendiri kerana sebelum ini saya pernah mempunyai tubuh badan yang besar.

"Selepas berjaya mengurangkan berat, saya dapat merasakan perubahan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di pentas sebagai penyanyi. Tahap stamina semakin meningkat," kata Syamel.

Dalam perkembangan lain, Syamel baru sahaja menyiapkan single terbaru teman duetnya, Ernie Zakri.

"Insya-Sllah, single Ernie bakal muncul tidak lama lagi. Ia hasil kolaborasi saya bersama Omar K, Ikhwan Fatanna dan John Jeevasingham serta bakal mengangkat tema kuasa wanita," katanya.

Syamel ditemui sejurus usai membuat persembahan di Kejohanan Badan Cantik Mr Sexy 2.0 2018 anjuran Fitness Inspire di Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.



Selain Syamel, pertandingan yang membabitkan lebih 300 peserta itu diacarakan oleh Haziq Hussni dah Sharifah Shahirah. Rakan penyanyi seperti Anuar Zain dan Syafiq Farhain turut membuat persembahan.

Turut hadir adalah Pengarah Urusan Fitness And Health Inspire Sdn Bhd, Fahrulrazi Kassim.

Pertandingan terbabit membabitkan tiga kategori iaitu atas 170 sentimeter, bawah 170 sentimeter, junior (bawah 23 tahun), Best Pose dan Champ of Champ Mr Sexy.



Juara kategori Junior dirangkul oleh Muhammad Akhtar Shamin yang membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala juara bawah 170 sentimeter diungguli oleh Syarul Mike Mahen yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM9999.99.

Juara atas 170 sentimeter diungguli oleh Muhd Ammar Afandi yang membawa pulang wang tunai RM9999.99 dan juara Champ of Champ Mr Sexy juga turut diraih oleh Syarul Mike Mahen yang membawa pulang wang tunai RM1,500.