Pelakon Nelydia Senrose mengakui dia mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang tetapi enggan berbincang lanjut mengenai perkara terbabit.

Nelydia kini sedang menjalin hubungan dengan seorang jutawan muda yang dikenali sebagai Hafiz.

Pada April lalu, Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 23, pernah memuat naik foto cincin di jari manisnya di media sosial.

Perkara terbabit mengundang tanda tanya netizen tentang status Nelydia yang dikatakan sudah di lamar kekasih hati.

"Cakap pasal kahwin, of course saya rasa sesiapa pun pasti ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang.

"Tentang bila masanya, kalau boleh saya enggan berbicara lanjut mengenai perkara terbabit. Saya menunggu masa yang sesuai, akan tahu juga nanti," kata Nelydia kepada HLive.

Ketika ditanya adakah dia bakal menamatkan zaman solo dalam masa terdekat, adik kepada aktres Uqasha Senrose ini memberikan jawapan selamat.

"Saya tak nak cakap apa-apa," katanya sambil tersenyum.

Drama bersiri lakonan Nelydia, Cinta Tiada Ganti sudah memasuki minggu akhir dan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).