Pelakon dan pengacara Datuk Rosyam Nor mengaku pemilihan Saharul Ridzwan sebagai tonggak utama drama Selafaz Cinta disebabkan komitmennya bersama pihak produksi.

Menurut Rosyam, Saharul mempunyai pengikut yang ramai malah setia menyokong dirinya.

"Satu kelebihan yang ada pada Saharul adalah komitmennya bersama pihak produksi.

"Saharul juga mempunyai peminat yang ramai malah sentiasa setia menyokong dirinya. Dalam masa yang sama, Saharul memang boleh berlakon," katanya.

Pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 51, berkata watak yang dipegang Saharul seakan dengan watak dalam drama Jangan Benci Cintaku.

"Saya memberitahu Saharul supaya membawa kelainan untuk watak dalam drama ini.

"Alhamdulillah, saya tengok secara keseluruhannya terdapat kelainan yang diberikan oleh Saharul.

"Walaupun terdapat persamaan watak tetapi cara pembawakannya lain," katanya kepada Gempak.

Rosyam ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Selafaz Cinta di One Utama, Damansara semalam.

Drama Selafaz Cinta ini menampilkan pelakon Saharul Ridzwan, Syatilla Melvin, Puteri Aishah, Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Luqman Hafidz, Riz Amin dan ramai lagi.

Selafaz Cinta akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang mulai 27 November menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).