Bintang Gegar Vaganza 5 (GV5), Amelina meluahkan kekecewaan terhadap serangan pereka fesyen yang bersifat peribadi terhadapnya.

Kata Amelina, dia menyifatkan kata-kata yang dilemparkan oleh pereka fesyen itu satu penghinaan.

"Kalau sentap pasal baju, jangan sampai cerita bukan-bukan pula keluar. Kata saya 'sendu' dan macam-macam lagi.

"Kalau nak keluarkan apa-apa kenyataan, fikir dulu dalam-dalam. Janganlah sampai menjatuhkan maruah saya.

"Tergamak dia menghina saya dan dan pengurusan saya," katanya ketika ditemui selepas tamat konsert akhir GV5 di MBSA, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Amelina, tiada sebarang kontrak bersama pereka fesyen itu untuk menggayakan busana sepanjang GV5 berlangsung.

"Ini atas dasar kawan-kawan dan saya ingin memberikan mereka peluang. Memang tiada kontrak pun.

"Saya rasa bukan pada mereka saya perlu minta maaf, sebaliknya saya kena mohon maaf kepada rakan-rakan pereka fesyen lain yang banyak membantu saya dari dulu lagi.

"Oleh kerana nak beri peluang kepada pereka fesyen itu, saya terpaksa mengenepikan pereka fesyen lain," tambahnya.

Amelina memberitahu dia sudah merancang untuk menyelesaikan isu terbabit selepas ini.

Isu antara Amelina dan pereka fesyen itu tercetus apabila penyanyi itu dikatakan memilih pakaian pereka fesyen lain pada saat-saat akhir sebelum konsert semi final GV5 minggu lalu.

Susulan itu, pereka fesyen itu menyelar tindakan Amelina menerusi kenyataan di media sosial.

GV5 menyaksikan Amelina menduduki tangga keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

GV5 telah bersiaran selama lapan minggu secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.