Penyanyi Ziana Zain memohon maaf selepas mengaku bersalah menghina mahkamah (contempt of court) ekoran mengeluarkan kenyataan berhubung kes penderaan anaknya melibatkan bekas suami, Armin Zaharin kepada media.

Permohonan maaf kepada Mahkamah Majistret di sini itu dilakukan pada Isnin.

Menerusi permohonan maafnya, Ziana memberitahu dia tidak berniat untuk menghina mahkamah selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Terima kasih atas peluang diberikan kepada saya. Saya tidak berniat untuk menghina mahkamah dan kenyataan dikeluarkan lebih kepada personal matter (hal peribadi) saya. Saya memohon maaf kepada mahkamah.

“Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, yang ditemani adiknya, penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf itu di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Raja Noor Adilla dalam keputusannya menerima permohonan dibuat pihak pemohon iaitu Armin terhadap penghina (Ziana) selepas mendapati wujud keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan menerima permohonan maaf dibuat penghina dengan satu amaran selain tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes yang sedang berlangsung.

Ziana diwakili peguam Lokman Mazlan manakala Armin diwakili oleh Mohd Amir Farid Mohd Nawawi.

Bagaimanapun Armin tidak hadir pada sebutan kes itu.

Menurut fakta kes, Ziana didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi beberapa sidang media selain temu bual dalam majalah Intrend keluaran Jun 2018 berhubung pendakwaan kes dera terhadap Armin yang sedang berlangsung di mahkamah.

Penyanyi lagu Anggapanmu itu didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis kerana menyentuh perwatakan subjek dalam pendakwaan yang boleh mencemarkan nama pemohon.

Armin menerusi peguamnya membuat permohonan itu pada Julai 2018.

Sebelum ini Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes.
Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana dan Armin pada 9 Mei 1998 namun mereka bercerai pada 12 Julai lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Sumber: mStar Online

Foto: Instagram @iamzianazain