Pelakon dan penyanyi Izzue Islam memberitahu keputusan menarik diri daripada kumpulan Forteen tiada kaitan dengan kegagalan mereka untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza 5.

“Secara jujurnya, dari awal pun saya tak layak bersama dengan Forteen sebab kalau nak ikutkan suara saya memang tidak sehebat mereka.

“Antara semua saya yang paling tak bagus. Bukan gimik, perkara ini serius dan bukan main-main. Cukuplah sampai di sini,” ujarnya.

Sebaliknya, Izzue yang ditemu bual secara langsung di siaran GV Live+ memberitahu keputusan itu dibuat kerana sudah tiada persefahaman antara ahli kumpulan lain.

“Pada saya dalam route ini kena ada persefahaman. Dari segi keserasian tidak ada masalah cuma bila persefahaman itu sudah tiada, lebih baik saya undur diri.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama terjadi pada saya. Ini kali kedua, jadi saya tak mahu perkara ini berlaku lagi, cukuplah,” jelasnya.

Terdahulu, Izzue membuat pengumuman mengejut itu sewaktu siaran langsung karpet merah konsert akhir Gegar Vaganza 5 (GV5) semalam.

Keputusan telah mengejutkan peminat setia Forteen.