Penyanyi dan juara Gema Gegar Vaganza musim kedua, Fitri Haris menceritakan dia amat meminati lagu nyanyian Lan Solo sejak penyanyi itu masih bersama kumpulan Kristal dahulu.

Menurut Fitri, walaupun dia dikenali sebagai penyanyi lagu ketuhanan, minatnya terhadap lagu bergenre rock agak terpendam dan tidak diketahui ramai.

"Sudah lama saya meminati lagu nyanyian Lan, bagi saya dia mempunyai kualiti nyanyian yang baik.

"Antara lagu kegemaran saya ketika Lan masih bersama kumpulan Kristal adalah Pak Belalang, Keindahan Pantai dan banyak lagi," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fitri bakal mengadakan Konsert 2 Dunia bersama Lan Solo.

Konsert ini akan diadakan pada 14 Disember ini bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan bakal menggabungkan genre rock serta ketuhanan atas satu pentas.

Berita baik untuk anda yang ingin menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual bermula harga RM 20 sehingga RM 150 sahaja.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 018-9553228 atau 012-4056349.