Selepas ditayangkan di Astro Citra pada 14 Mei lalu, telefilem Syahadah Yang Hilang arahan pengarah muda, Mohd Syafiq Shamsul Ariffin mendapat respon dan maklumbalas positif daripada penonton.

Bagi anda yang terlepas peluang untuk menonton telefilem tersebut, Syahadah Yang Hilang bakal ditayangkan semula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sempena program KaryaONE 2016.

Telefilem arahan protégé kepada sutradara Ghaz Abu Bakar ini bakal ditayangkan bermula jam 8.00 malam pada 24 Mei ini dan ia merupakan hasil usahama antara pihak Astro dan UiTM menerusi slot Karya 12.

Kerjasama antara UiTM dengan pihak Astro menerusi projek Karya 12 ini telah bermula sekitar November 2015, di mana pihak Astro telah datang ke Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM dan membuat saringan di peringkat universiti.

“Beberapa orang pelajar FiTA telah membuat pembentangan kepada pengarah dan pihak Astro. Mereka kemudiannya dipilih berdasarkan idea dan konsep yang paling kreatif. Tiga pelajar FiTA yang terpilih untuk menyertai program ini adalah Amirul Nasrullah Kamarulzaman bersama Nur Aisyah Sallehuddin (mentor Yusry Abdul Halim) dengan telefilem berjudul Alien Janda Baik dan Mohd Syafiq Shamsul Ariffin (mentor Ghaz Abu Bakar) dengan telefilem berjudul Syahadah Yang Hilang.

“Pemilihan Syafiq adalah berdasarkan idea dan konsep yang menarik dan potensi beliau sebagai seorang pengarah. Dia mempunyai kriteria dan karektor sebagai seorang visionary dalam pembikinan filem dan kami memilih untuk menayangkan semula Syahadah Yang Hilang bersempena program KaryaONE 2016,” kata Timbalan Pengarah KaryaONE 2016, Wan Ainaa Atiqah Ismadi.

KaryaONE 2016 merupakan sebuah program seni anjuran FiTA yang diadakan bertujuan untuk mempamerkan bakat dan hasil seni kreatif para pelajar kepada umum yang berlangsung dari 24 hingga 27 Mei 2016 ini akan diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

“Acara yang dianjurkan setiap tahun ini bertujuan untuk membentuk generasi pengerak industri seni tanahair yang berkualiti, kreatif dan inovatif, selaras dengan visi dan misi UiTM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, global dan beretika.

“Melalui program ini, hasil karya yang bersifat artistik dan berdaya keusahawanan (artrepreneur) dapat diketengahkan. Antara program yang diadakan ialah Malam Gala KaryaONE Wave Awards 2016, Promosi Filem Anak Mami Nasi Kandar, Tayangan Telefilem Karya 12 Syahadah Yang Hilang, MOU Bersama Industri, Taklimat Centre of Excellence oleh FINAS dan banyak lagi,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web http://karyaone.com atau gunakan carian ‘karyaone2016’ di laman Facebook dan Instagram.