Bintang popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh selamat mendirikan rumah tangga pada 14 November (Rabu).

Menurut laporan Times of India, majlis pernikahan Deepika dan Ranveer berlangsung secara sederhana di Lake Como, Italy.

Majlis pernikahan mereka dilaporkan berlangsung selama empat jam dan dihadiri oleh 40 orang tetamu yang diterdiri daripada saudara serta rakan terdekat mereka.




Namun sehingga kini foto pernikahan Deepika dan Ranveer masih belum dikongsikan kerana para tetamu yang hadir dilarang mengambil gambar sepanjang majlis itu berlangsung.

Selepas ini, resepsi pertama mereka akan diadakan pada 21 November ini khusus untuk keluarga dan mereka juga akan mengadakan majlis kedua pada 28 November depan di Mumbai untuk dihadiri oleh rakan selebriti Bollywood.

Deepika dan Ranveer mula menjalinkan hubungan sejak lima tahun lalu sejak membintangi filem Goliyon Ki Raasleela - Ram Leela arahan Sanjay Leela Bhansali.

Kemudian, beberapa buah filem Sanjay Leela selanjutnya antaranya Bajirao Mastani dan Padmaavat menyaksikan gabungan berkesan Deepika dan Ranveer.

Kisah cinta mereka tidak didedahkan kepada umum sehinggalah gosip mengenai pasangan terbabit ke Sri Lanka untuk bertemu keluarga masing-masing tersebar Januari lalu.