Juri tetap program Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Khadijah Ibrahim atau mesra disapa Ibu Khaty mengundang rasa kurang selesa sesetengah penonton apabila dia bertanya tentang pereka fesyen atau penaja pakaian untuk pengacara dan peserta program tersebut.

Menurut Khaty, dia berbuat demikian adalah untuk memberi penghargaan kepada pereka fesyen yang bertungkus lumus menyiapkan persalinan buat mereka.

"Kita selalu melihat artis membuat persembahan dengan menyarung pakaian cantik dan mewah, tetapi kita tidak tahu siapa yang berusaha keras untuk menyiapkan pakaian itu.

"Oleh kerana itu, saya mengambil langkah berbuat demikian sebagai satu tanda penghargaan buat pereka fesyen yang terlibat.

"Usaha keras mereka sememangnya perlu dibanggakan, selain itu saya juga memberi 'red carpet moment' kepada peserta dan pengacara GV5 kerana bertanya tentang pakaian mereka," katanya berseloroh.

Kathy berkata demikian ketika ditemui di majlis temubual dan makan tengahari sempena Konsert 2 Dunia Lan Solo dan Fitri Haris bertempat di Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya semalam.

Konsert ini akan diadakan pada 14 Disember ini bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan bakal menggabungkan genre rock serta ketuhanan atas satu pentas.

Berita baik untuk anda yang ingin menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual bermula harga RM 20 sehingga RM 150 sahaja.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 018-9553228 atau 012-4056349.