Penyanyi Fitri Haris dan Lan Solo akan bergabung bagi menjayakan Konsert 2 Dunia yang akan berlangsung pada 14 Disember ini bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Fitri, dia yakin kolaborasi tersebut akan mencetus satu fenomena baru dalam industri hiburan tempatan memandangkan tiada penyanyi lagu ketuhanan bergabung bersama penyanyi rock sebelum ini.

"Saya harap konsert ini dapat membawa kelainan berbanding konsert yang ada, sejujurnya saya memang mengimpikan konsert setelah 17 tahun dalam industri.

"Saya yakin dengan kehebatan Lan, Gabungan bintang program Gegar Vaganza (GV) dan Gema Gegar Vaganza (GGV) ini pasti mencetus satu 'benchmark' dalam industri hiburan," ujar Fitri.

Menyokong kenyataan itu, Lan juga mahu konsert ini dilihat dengan cukup bermakna.

"Idea yang ditawarkan Fitri sewaktu kali pertama berjumpa membuatkan saya teruja untuk bergabung merealisasikan konsert ini.

"Cadangan kami, biarlah konsert ini berterusan dan akan diperluaskan ke IPTA lain pula selepas bermulanya di USM ini," kata Lan.

Fitri dan Lan berkata demikian ketika ditemui di majlis temubual dan makan tengahari bersama mereka di Petaling Jaya sebentar tadi.

Berita baik untuk anda yang ingin menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual bermula harga RM 20 sehingga RM 150 sahaja.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai konsert ini, sila hubungi talian 018-9553228 atau 012-4056349.

Foto : IG @fitriismyfamilyofficial & @lansolo_official