Finalis Ceria Popstar 2016, Reza menafikan dakwaan berjaya ke peringkat akhir Ceria Popstar kerana rupa, bukan bakat.

“Bagi saya itu adalah rezeki, kalau nak kata dapat masuk final disebabkan rupa, saya rasa itu pendapat masing-masing.

“Saya tak boleh nak halang orang nak cakap perkara-perkara negatif tentang saya, cuma saya sendiri tahu bagaimana saya berusaha untuk sampai ke peringkat ini.

“Sebelum diterima masuk Ceria Popstar pun saya kena lalui ujibakat terlebih dahulu, jadi saya rasa kalau tak berbakat tak mungkin saya dipilih untuk sertai program ini.

“Sebab itu saya percaya masuk final adalah kerana bakat dan bukan berlandaskan rupa semata-mata.

“Tak apalah, yang penting saya nak beri fokus lebih untuk final dan berikan persembahan terbaik untuk buktikan kemampuan saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai saingan dalam program tersebut, Reza atau nama sebenarnya Muhammad Shahreza Abu Samah, 13, akui berasa ‘takut’ untuk berhadapan dengan Jun.

“Saya rasa Jun adalah pesaing terdekat kerana suaranya sangat ‘power’ dan kebanyakkan persembahannya berjaya memukau juri.

“Jadi sebab itu minggu ini saya mahu berikan fokus sepenuhnya dan saya akan cuba buat kejutan di final nanti.

“Tekanan memang ada sebab semua finalis memang hebat dan kami semua dah tak ada masa untuk main-main lagi di dalam kelas.

“Tak mahu nanti ada kesilapan bila buat persembahan atas pentas, kalau boleh biarlah semuanya sempurna dan saya tak nak hampakan peminat.

“Harapan saya kalau dapat berada di tangga ketiga teratas pun dah cukup baik untuk saya sebab sejujurnya saya sendiri tak sangka dapat masuk final. Alhamdulillah,” ujarnya.

Reza telah menyampaikan lagu Berat nyanyian asal oleh Mark Adam.

Selain Reza, Hazmil, Jun, dan Aniq juga berjaya ke peringkat final Ceria Popstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Konsert final Ceria Popstar 2016 bermula jam 9.00 malam hanya di Astro Ceria (saluran 611), Astro Maya HD (saluran 135) dan Astro Prima (saluran 105).