Penyanyi hip hop Joe Flizzow mengakui bersyukur selepas dinobatkan sebagai pemenang Artis Pilihan Asia Tenggara di MTV Europe Music Awards 2018.

Menurut Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 39, kejayaan yang diperolehi ini merupakan peluang terbaik untuk dia melebarkan kerjayanya di peringkat pasaran eropah selepas ini.

"Saya berharap agar dengan kejayaan ini akan dapat mempromosikan karya tempatan di peringkat antarbangsa.

"Saya juga merancang untuk menjalin kerjasama dengan beberapa penggiat seni di saya kerana ini merupakan peluang terbaik untuk meneroka pasaran muzik Eropah.

"Memandangkan kejayaan ini masih lagi hangat diperkatakan, saya merancang untuk berbincang dengan pihak pengurusan Sony Music untuk menjalin kerjasama berkenaan pada masa depan.

"Ramai anggap muzik yang dibawakan oleh saya ini unik malah ada juga yang ingin mengetahui lebih dalam tentang muzik di Malaysia," katanya kepada Gempak.

Joe berkata demikian ketika ditemui pada majlis bersama media di Ana Patin House, di Mutiara Damansara pada Isnin.

Dalam majlis anugerah yang berlangsung di Sepanyol baru-baru ini, Joe menewaskan bintang Asia Tenggara lain seperti Afgan (Indonesia), IV of Spades (Filipina) dan The Sam Willows (Singapura).