Finalis Ceria Popstar 2016, Hazmil akui malu untuk berhadapan dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza selepas merasakan persembahannya minggu lalu kurang memuaskan.

“Tak sangka dapat masuk final sebenarnya sebab saya rasa persembahan minggu ini agak kurang memuaskan.

“Saya sendiri pun was-was boleh buat atau tidak sebab tak sihat dan suara pun tak berapa elok.

“Siapa tak gementar bila kena buat persembahan depan idola sendiri kan, lebih-lebih lagi bila Datuk siti naik ke pentas dan ‘join’ persembahan saya.

“Waktu itu tuhan saja yang tahu perasaan saya, masa itu mula terfikir boleh ke nak ‘perform’, sudahlah Datuk Siti berada satu pentas lepas tu saya pula kena bawakan lagu Nirmala, takut sungguh rasanya.

“Memang malu kalau tak dapat beri yang terbaik, tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun saya agak kurang puas hati dengan persembahan sendiri,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai persediaannya untuk final Ceria Popstar, Hazmil atau nama sebenarnya Hazmil Hassan, 11, berkata dia akan lebih berhati-hati menggunakan suaranya sewaktu berlatih supaya tidak memberi impak buruk terhadap persembahannya nanti.

“Bila dah masuk final memang ada sedikit risau takut kalau suara tak berapa baik. Saya akui minggu lalu saya terlalu ‘overdue’ menyanyi sehingga menyebabkan suara hilang.

“Jadi untuk jaga suara saya kena cukup tidur. Saya juga mengamalkan petua penjagaan suara dengan minum air madu dicampur dengan lemon dan halia.

“Saya janji akan berikan yang terbaik. Saya tak meletakkan harapan untuk menjadi juara tetapi andai kata dapat memegang geralaran tersebut, Alhamdulillah,” ujarnya tersenyum.

Hazmil telah menyampaikan lagu Nirmala yan dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Hazmil, Jun, Reza dan Aniq juga berjaya ke peringkat final Ceria Popstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Konsert final Ceria Popstar 2016 bermula jam 9.00 malam hanya di Astro Ceria (saluran 611), Astro Maya HD (saluran 135) dan Astro Prima (saluran 105).