Setelah sekian lama memberi perhatian kepada karier lakonan, kerja-kerja kebajikan dan alam sekitar, pelakon Maya Karin kini kembali memberikan fokus dalam bidang nyanyian.

Muncul dengan single berjudul Getaway, ini merupakan single pertama Maya selepas hampir empat tahun sunyi tanpa karya solo terbaru.

Kali terakhir muncul dengan album solo Teka Teki pada tahun 2013 dan single khas Hari Raya yang berjudul Pulang pada tahun 2014.

Pelakon Munafik 2 ini juga pernah membuat penampilan khas dalam single Serik Dengan Cinta bersama Juzzthin pada tahun 2015 dan Sinar Ini kolaborasi bersama Yasin Sulaiman pada tahun 2018.

Menerusi single Getaway ini, Maya mengangkat tema betapa pentingnya untuk seseorang itu menemukan, mengenali dan menjadi diri sendiri dalam dunia yang penuh kepuraan ini.



Getaway merupakan hasil karya komposer dan penerbit berpengalaman Audi Mok bersama penyanyi baru Atilla Hanna atau lebih dikenali sebagai Tilla Hanna.

Single yang membawakan genre pop moden ini turut menampilkan penyanyi Kaka Azraff selaku rapper dalam lagu tersebut.

Getaway merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 9 November.