Selepas 15 tahun tidak mengadakan persembahan di Singapura, kehadiran bintang Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Safura dalam showcase Gegar Vaganza Live di pusat membeli-belah, Kinnex Mall, Singapura telah membuatkan peminat di seberang tambak rasa teruja.

Paling mengejutkan, seorang peminat wanita tiba-tiba rebah selepas dijemput naik ke pentas untuk bersama Safura menyanyikan lagi popularnya, Sedalam Mana Cintamu.

Dalam kejadian malam tadi, Safura yang panik dengan situasi tersebut terus membantu peminat itu untuk bangun namun dia sekali lagi rebah dan terus mendapat bantuan kru acara.

Malah peminat itu terus mendapat bentuan Safura yang turut memapahnya hingga ke bawah pentas.

Namun showcase anjuran Singtel TV dengan kerjasama Astro itu kemudian diteruskan beberapa minit selepas itu untuk meredakan keadaan.

Gegar Vaganza LIVE merupakan showcase sempena acara FUYOHH! JOM yang dianjurkan oleh Singtel TV.

Selain Safura bintang GV lain yang turut membuat persembahan malam itu adalah Farawahida, Zarul Umbrella, Haiza dan Ayai Ilusi.