Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat terkejut apabila beg tangan miliknya diragut oleh dua orang lelaki ketika dia sedang berada disebuah kafe yang terletak di Wangsa Melawati.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.00 tengah malam tadi, Ayda baru sahaja sampai di kafe tersebut.

"Saya baru sahaja duduk dan mahu memesan minuman. Selepas saya membuka beg dan mengambil telefon bimbit, tiba-tiba datang dua orang lelaki ke meja saya dan melarikan beg tangan saya.

"Dalam beg tersebut terdapat wang tunai, kunci kereta, dompet dan benda-benda penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank. Malangnya, tiada kamera litar tertutup di kawasan kafe untuk mengenalpasti individu yang tidak bertanggungjawab itu dan saya terus segera membuat laporan polis," kata Ayda kepada Astro Gempak.

Membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Ayda enggan berkongsi kerugian yang dialaminya.

"Atas nasihat pihak polis, saya tidak boleh dedahkan kos kerugian yang saya alami. Apa yang saya tahu, perkara ini sedang berleluasa kerana malam tadi sahaja, terdapat lebih tiga kes ragut yang berlaku di kawasan yang sama," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ayda sempat menasihatkan agar kaum wanita berhati-hati dengan keadaan sekeliling agar kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

"Saya tak rasa trauma, tapi saya rasa terkejut kerana saya diragut ditempat terbuka seperti di sebuah kafe dan tempat itu kelihatan selamat kerana masih ramai orang lagi di sana.

"Kepada wanita diluar sana, saya nasihatkan agar anda semua lebih berhati-hati, tak kira tempat dan masa kerana kejadian buruk boleh berlaku dalam sekelip mata," kata Ayda mengakhiri perbualan.

Ayda kini sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri Assalamualaikum Cinta yang bersiaran istimewa sempena Ramadan.

Menggandingkan Ayda bersama Saharul Ridzwan, Kamal Adli dan Emma Maembong, #berikanmasa anda untuk menonton drama bersiri terbitan Dark Wave Pictures yang bakal ditayangkan pada jam 10.00 malam, bermula Isnin, 30 Mei 2016 di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.